KUALA LUMPUR – Tiga pemimpin Barisan Nasional (BN) sudah tiba di Istana Negara bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pagi ini.
Antara yang terawal adalah Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan yang mana dilihat memasuki Pintu 2 Istana Negara pada pukul 10.39 pagi.
Seterusnya, dua lagi kenderaan jenis Lexus dan Toyota Vellfire dipercayai membawa Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir memasuki Istana Negara pada pukul 10.43 pagi.
Selang 10 minit kemudian, sebuah lagi kenderaan jenis Toyota Vellfire turut memasuki Istana Negara dipercayai membawa Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim.
Kehadiran kesemua pemimpin itu bertujuan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pagi ini untuk menetapkan calon Perdana Menteri Ke-10. – KOSMO! ONLINE