PETALING JAYA – Barisan Nasional (BN) berada dalam keadaan sukar apabila berterusan dipersalahkan ekoran situasi yang berlaku ketika ini selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pengurus akaun Facebook bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu hantaran secara sinis menyindir sesetengah pihak yang terus menyalahkan BN kepada apa yang berlaku ketika ini.
“Menang, salah. Kalah, juga salah. Pilih PH (Pakatan Harapan), penyokong PN (Perikatan Nasional) salahkan BN.
“Pilih PN, penyokong PH salahkan BN. Tak pilih sesiapa, seluruh Rakyat salahkan BN sebab tiada kerajaan.
“Buat ini, salah. Buat itu, salah. Tak buat apa-apa, lagi salah. Lambat buat, pun salah,” tulisnya di Facebook Najib.
Pengurus akaun itu menambah, jika pilih PH atau PN akan melanggar ketetapan BN dengan slogan No Anwar, No Dap dan No Bersatu.
Tambahnya, ia merupakan satu pilihan yang susah dan rumit bagi BN pada ketika ini, namun berharap akan ada penyelesian bagi kemelut ini dalam masa paling terdekat.
“Mujur Najib tiada lagi. Jika tidak, ianya juga salah Najib,” katanya.