fbpx

Warga kota pulang ke kampung sebelum PKPB

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pertambahan kenderaan yang melalui Jalan Gua Musang - Kuala Krai pagi ini.

Oleh AIMUNI TUAN LAH

GUA MUSANG – Bilangan kenderaan yang melalui Jalan Kuala Lipis-Gua Musang dan Gua Musang-Kuala Krai mengalami pertambahan berbanding hari biasa apabila warga kota pulang ke kampung halaman sejak petang semalam.

Difahamkan, warga kota mengambil kesempatan untuk pulang ke kampung sebelum penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) Covid-19 di sekitar Putrajaya, Selangor dan Kuala Lumpur bermula tengah malam ini.

Seorang pekerja swasta, Siti Norashira Aziz, 35, berkata, dia bersama suami terpaksa menghantar pulang tiga anaknya ke rumah ibunya di Kuala Krai sepanjang tempoh PKPB ini.

Katanya, mereka mengambil keputusan berbuat demikian sebelum tengah malam ini kerana bimbang berlaku kerumitan untuk pulang ke kampung.

“Disebabkan sekolah ditutup, kami ambil keputusan untuk hantar anak ke kampung.

“Kami berasa lebih selamat mereka tinggal di kampung kerana kami masih lagi perlu bekerja,” katanya.

Seorang juruteknik, Mohd. Imran Mohd. Ismail, 37, pula berkata, mereka sekeluarga pulang ke kampung dan akan bercuti selama dua minggu bersama keluarga bagi menggelakkan kerumitan sepanjang tempoh PKPB.

Katanya, perkembangan semasa PKPB dan situasi Covid-19 di ibu negara menyebabkan mereka pulang ke kampung.

“Sebelum pulang, kami sekeluarga telah membuat saringan kesihatan di sebuah klinik di Kuala Lumpur.

“Sepanjang tempoh PKPB, kami dapat bersama ahli keluarga kerana tidak dapat pulang ketika Hari Raya Aidiladha lalu,” katanya.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Putrajaya, Selangor dan Kuala Lumpur dilarang merentas sempadan mulai pukul 12.01 malam ini.

Katanya, Majlis Keselamatan Negara (MKN) memutuskan pelaksanaan PKPB hingga 27 Oktober susulan peningkatan kes harian positif Covid-19.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI