fbpx

Bapa, anak pulang mengundi maut kemalangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan Proton Wira dinaiki enam sekeluarga yang terlibat dalam kemalangan di Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Sungai Buloh semalam.

SUNGAI BULOH – Perjalanan pulang dari mengundi enam sekeluarga berakhir tragedi apabila dua daripada mereka maut dalam satu nahas di Kilometer 452, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan dekat sini semalam.

Kemalangan kira-kira pukul 3.20 pagi itu menyebabkan Mat Zaki Mahmud, 48, dan anaknya, Mya Zaratul Nuraishah, 13, yang menaiki kereta Proton Wira me­ninggal dunia di tempat kejadian.

Turut menaiki kereta ber­kenaan adalah dua anak Mat Zaki serta adiknya, Mohd. Fauzi, 38, serta anak saudaranya yang ce­dera parah.

Kesemua mereka bersama saudara lain dalam konvoi tiga kenderaan pulang ke Felda Jengka,­ Pahang dari Pulau Pinang dan Kedah setelah selesai me­ngundi pada Sabtu lalu.

Sepupu Mat Zaki, Farizal Othman, 37, berkata, ketika kejadian mereka baru memulakan perja­lanan selepas berhenti di Tapah dan Proton Wira berkenaan dipandu Mohd. Fauzi.

“Kereta saya berada di hadapan mereka dan setibanya di lokasi, terdengar bunyi dentuman kuat di belakang dan terkejut melihat kenderaan dipandu sepupu dilanggar.

“Saya cuba hubungi Mat Zaki tetapi tidak dijawab sebelum mengigil melihat tiga daripada empat anak saudaranya bergelimpangan di atas jalan raya, manakala sepupu saya tersepit di bahagian pemandu,” katanya ketika ditemui semalam.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 3.20 pagi.

“Pemandu Proton Wira didapati telah hilang kawalan lalu melanggar pembahagi jalan di sebelah kanan sebelum dilanggar kereta Toyota Vios yang datang dari arah belakang,” katanya dalam kenyataan semalam.

Jelasnya, pelanggaran itu menyebabkan dua maut di tempat kejadian, masing-masing berusia 48 dan 13 tahun. Empat mangsa lain yang cedera telah dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk ra­watan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI