SELEPAS muncul dengan single Pudar tiga tahun lalu, nama Indah Ruhaila tenggelam dari radar industri. Biarpun tahun ini dia kembali dengan lagu baharu, tetap kelibatnya jarang menghiasi acara seni dan hiburan.
Menyedari situasi tersebut, pemilik nama sebenar Siti Ruhailah Hussein itu mengakui dia kurang aktif dalam kerjaya nyanyian untuk memberi laluan dan tumpuan lebih buat keluarga kecilnya. ta
“Saya tidak menghilangkan diri cuma selepas berkahwin banyak habiskan masa untuk keluarga. Kadangkala bila nak fokus kerja jadi terpesong kerana terfikirkan suami.
“Ada juga buat persembahan cuma tidak terlalu aktif seperti dahulu kerana fokus harus dibahagi dua,” jelasnya.
Keadaan tersebut sedikit sebanyak mempengaruhi sudut pandang Indah dalam dunia seni apabila mengakui tidak mengejar populariti kerana percaya dengan rezeki daripada Tuhan Yang Maha Esa.
“Kalau dapat peluang keluar dalam televisyen, saya akan buat sehabis baik. Saya tidak terkejar-kejar kerana takut dilabel gila glamor.
“Malah, saya sentiasa percaya Tuhan akan bagi rezeki tepat pada waktunya. Bukan populariti tidak penting cuma saya lebih selesa hidup begini, hanya fokus kepada keluarga,” ujarnya.
Bercakap mengenai rezeki, penyanyi berusia 35 tahun itu kembali dengan kejayaan peribadi apabila lagu nyanyiannya yang berjudul Demi Kamu berjaya mara ke peringkat Separuh Akhir Muzik-Muzik ke-37 (SFMM37) bersama-sama 29 buah lagu lain yang dipertandingkan.
Sebagai penyanyi yang sudah bertapak dalam industri seni selama 15 tahun, harapan Indah lebih kepada semangat untuk menonjolkan persembahan yang terbaik.
Kelayakan lagu tersebut bersaing di peringkat SFMM37 pada masa sama dianggap tuah buatnya dan bersedia untuk memberikan yang terbaik.
“Sebenarnya, saya tidak sangka lagu ini berjaya mara ke peringkat separuh akhir sebab saya sendiri dah lama tidak rakam lagu.
“Setiap kali berjaya melepasi peringkat separuh akhir, saya mesti berharap pada malam sebelum pertandingan agar vokal berjalan lancar dan dapat melakukan persembahan dengan baik.
“Lagu Demi Kamu mempunyai kekuatan dari segi melodi. Jadi saya sudah bersedia dan memberikan fokus untuk separuh akhir nanti,” tuturnya.
Indah akan bertanding di pentas SFMM37 yang berlangsung pada hujung bulan ini untuk lagu Demi Kamu yang dicipta oleh komposer Johan John dan lirik Khaleel.
Lagu berkenaan dilancarkan pada 2019 dan menjadi runut bunyi sebuah drama seram terbitan TV3, Tahyul.
Sertai GV?
Disebabkan ‘kehilangan’ selama beberapa tahun dari radar industri hiburan tanah air, wujud khabar angin mengatakan pelantun lagu Kau Yang Satu itu akan menyertai rancangan popular Gegar Vaganza (GV) pada musim hadapan.
Bagaimanapun, Indah menjelaskan, setakat ini dia belum pernah menerima sebarang tawaran untuk menyertai program tersebut.
“Ramai yang tanya tapi jawapan saya tidak ada, sebab tak terima pun tawaran untuk sertai GV.
“Kalau dapat tawaran untuk musim hadapan, kena fikir dahulu kerana perlu memberikan komitmen pada setiap minggu.
“Risau juga tidak mampu melayan stres. Tengoklah macam mana, kena minta izin daripada suami terlebih dahulu,” tutup Indah.