fbpx

Lelaki diberkas, seludup dadah 23.1 kg guna kereta keluarga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zainol (kiri) menunjukkan dadah dirampas pada sidang akhbar di IPK Melaka, Bukit Beruang, hari ini.

MELAKA – Seorang lelaki sanggup menggunakan kereta milik keluarganya untuk menyeludup keluar dadah jenis syabu seberat 23.1 kilogram yang bernilai RM834,768, bagi pasaran luar negara.

Kegiatan suspek berusia 50 tahun itu bagaimanapun berjaya dihidu polis sebelum diberkas dalam serbuan kira-kira pukul 12.10 tengah malam tadi di Pulau Melaka, di sini.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, hasil risikan selama sebulan, pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Melaka bersama anggota Batalion 6, Pasukan Gerakan Am (PGA), Johor berjaya mengesan pergerakan suspek di lokasi berkenaan.

“Ketika serbuan dilakukan, suspek cuba melarikan diri namun dia telah dikepung seramai 18 pegawai dan anggota yang berada di lokasi.

“Hasil pemeriksaan kenderaan jenis Saga BLM dipandu, kita menjumpai tiga beg galas mengandungi bungkusan teh Cina berwarna kuning yang didalamnya berisi dadah syabu,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, hari ini.

Antara dadah yang dirampas.

Tambahnya, tangkapan itu adalah yang pertama melibatkan penyeludupan di Pulau Melaka dan pihak polis percaya ia menjadi lokasi baharu ‘transporter’ selepas kawasan lazim iaitu di perairan di Tanjung Kling telah dikawal rapi penguat kuasa.

Mengulas lanjut beliau berkata, hasil semakan lanjut, suspek didapati telah menggunakan kenderaan milik keluarganya untuk melakukan kegiatan itu yang dipercayai aktif sejak sebulan lalu.

“Suspek merupakan warga tempatan yang berasal dari Johor dan telah menggunakan kereta keluarganya untuk menyeludup keluar dadah ini.

“Lelaki tersebut juga masih bujang dan mempunyai empat rekod lampau di bawah Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka, Seksyen 39(B) dan Seksyen 56 (1) Akta Imigresen serta Seksyen 6 (1) Akta Kakisan dan Letupan,” katanya.

Ujarnya, hasil ujian saringan air kencing ke atas lelaki berkenaan bagaimanapun didapati negatif dan suspek kini direman selama tujuh hari membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI