DOHA – Seorang wartawan ditegah daripada memasuki stadium ketika perlawanan bola sepak Piala Dunia berlangsung antara pasukan Amerika Syarikat (AS) dan Wales kerana memakai baju-T memaparkan lambang lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), lapor akhbar Daily Star semalam.
Wartawan stesen penyiaran CBS Sports, Grant Wahl, ketika itu memakai baju-T bercorak pelangi yang mengelilingi sebiji bola sepak pada bahagian tengah.
Dia cuba memasuki Stadium Ahmad Bin Ali namun, seorang pengawal keselamatan melarang warga AS itu daripada memasuki lokasi perlawanan sekiranya dia enggan menukar pakaian.
“Pengawal keselamatan tidak membenarkan saya memasuki stadium untuk menonton perlawanan antara AS-Wales. ‘Anda perlu menukar pakaian, ia tidak dibenarkan’,” kata Wahl menerusi ciapan di laman Twitter.
Wahl akhirnya dibenarkan memasuki stadium tersebut lalu dia memuat naik satu hantaran lain yang berbunyi: “Saya okay, namun ia adalah satu kesukaran yang tidak perlu. Saya berada di pusat media dan masih memakai baju-T yang sama. Saya telah ditahan selama hampir sejam,” katanya.
Ketika menjelaskan situasi sebenar yang berlaku, Wahl menerusi blog kendaliannya berkata, dia ditahan selama 25 minit selain telefon bimbit miliknya turut dirampas.
Pengawal keselamatan juga didakwa berulang kali menyuruh dia menukar pakaian.
Tambah Wahl, seorang komander kemudian menghampirinya dan memberitahu bahawa mereka akan melepaskannya serta memohon maaf atas semua kesulitan itu.
Seorang wakil daripada Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA) turut membuat permohonan maaf kepada Wahl. – Agensi