fbpx

Tanggungjawab sebagai pemimpin bukan mudah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
INDIVIDU yang lemah dalam kepimpinan tidak sepatutnya diangkat menjadi pemimpin. – Gambar hiasan

BAHANG Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) telah berakhir setelah proses pengundian berlangsung pada Sabtu lalu.

Pilihan raya diadakan bagi melantik Ahli Parlimen baharu yang mewakili masyarakat di kawasan masing-masing.

Pelantikan pemimpin adalah salah satu proses yang dinamakan sebagai demokrasi dengan setiap rakyat berkelayakan mempunyai hak untuk mengundi bagi menentukan pemimpin mereka.

Dalam perspektif Islam, pelantikan dan pemilihan seseorang individu sebagai pemimpin merupakan satu perkara yang sangat penting.

Hal ini kerana peranan dan tanggungjawab yang dipikul oleh pemimpin sangat berat.

Dalam membahaskan tentang kepemimpinan ini, ada perkara menarik yang boleh sama-sama kita fikirkan apabila merujuk kepada beberapa hadis.

Kisah Abu Dzar al-Ghifari yang telah meminta jawatan dalam kerajaan daripada Nabi SAW merupakan peristiwa yang boleh dijadikan pengajaran untuk semua.

Perkara ini diceritakan sendiri oleh Abu Dzar al-Ghifari atau nama sebenar beliau, Jundab bin Junadah yang pernah meminta Nabi SAW melantiknya menjawat jawatan sebagai pemimpin seperti mana beberapa orang Sahabat lain.

Daripada Abu Dzar, bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Ya Abu Dzar, aku lihat engkau seorang yang lemah dan aku suka engkau mendapatkan sesuatu yang aku sendiri menyukainya. Janganlah engkau memimpin dua orang dan janganlah engkau mengurus harta anak yatim.” (Muslim, hadis 1,826)

Hadis ini turut dikukuhkan lagi dengan hadis yang lain iaitu daripada Abu Dzar berkata: “Wahai Rasulullah SAW, tidakkah engkau melantikku (dengan suatu jawatan)? Abu Dzar berkata: “Kemudian baginda menepuk bahuku dengan tangan baginda lalu bersabda: “Wahai Abu Dzar, kamu ini lemah (untuk memegang jawatan) padahal jawatan merupakan amanah. Pada hari kiamat ia adalah kehinaan dan penyesalan kecuali bagi sesiapa yang mengambilnya dengan hak dan melaksanakan tugas dengan benar.” (Muslim, hadis 1,825)

Kedua-dua hadis ini diriwayatkan dalam Sahih Muslim dan diletakkan dalam topik utama tentang kepimpinan di bawah bab, Dibenci Untuk Dilantik Pemimpin Tanpa Keperluan.

Dalam hadis itu, Nabi SAW menyatakan bahawa Abu Dzar seorang yang lemah untuk memegang jawatan sebagai pemimpin.

Dalam hadis tersebut yang dimaksudkan ‘daif’ iaitu lemah dalam menegakkan kepimpinan sebagai gabenor wilayah.

Imam al-Nawawi mengatakan bahawa hadis itu menunjukkan perlu dijauhi pemimpin yang diketahui lemah dalam menegakkan kepimpinannya.

Seseorang yang tidak mampu memimpin masyarakat, tidak sewajarnya meminta jawatan dan dilantik dalam mana-mana portfolio sebagai pemimpin.

Hal ini kerana ia akan memberikan kesan besar terhadap institusi kepimpinan tersebut.

DALAM perspektif Islam, pemilihan pemimpin merupakan salah satu perkara yang sangat penting. – Gambar hiasan

Bahkan, Imam al-Nawawi menambahkan, maksud rasa malu dan penyelesaian bagi mereka yang meminta jawatan merujuk kepada individu yang pada haknya bukan seorang ahli yang berkemampuan memimpin atau seorang yang mampu menjadi pemimpin tetapi tidak dapat berlaku adil.

Di akhirat nanti, seseorang itu akan dimalukan oleh Allah SWT dan mendapat penyesalan di atas apa yang telah dilakukannya.

Sedangkan bagi sesiapa yang berkemampuan sebagai seorang pemimpin dan mampu berlaku adil, maka kelebihan sangat besar akan diperolehnya.

Jalal al-Din al-Suyuti dalam Hasyiah al-Sanadi ‘ala Sunan al-Nasa’i memetik pandangan al-Qurtubi yang menyebutkan bahawa maksud ‘daif’ dalam hadis itu adalah lemah dalam melakukan apa yang sepatutnya.

Jadi, pada diri Abu Dzar bentuk lemah itu adalah kerana beliau dikuasai oleh sifat zuhud dan kehinaan terhadap dunia.

Sesiapa yang berada dalam keadaan itu pasti tidak akan memperdulikan soal harta dan kepentingan terhadap menguruskan kemaslahatan agama dan menyempurnakan segala urusan yang berkaitan dengannya.

Kata al-Suyuti lagi, Abu Dzar seorang yang sangat zuhud dalam soal keduniaan sehingga beliau memandang seluruh harta adalah haram.

Jika dikeluarkan zakat kepadanya, dia memandang bahawa itu adalah harta yang telah dijanjikan oleh Allah dalam al-Quran.

Ketika Nabi SAW mengetahui tentang hal tersebut, Baginda menasihati dan melarang Abu Dzar daripada memegang jawatan sebagai pemimpin.

Dalam hadis lain ada juga sahabat yang turut meminta jawatan daripada Rasulullah SAW, tetapi telah ditolak.

Daripada Abdul Rahman bin Samurah, Rasulullah SAW bersabda: “Wahai Abdul Rahman! Jangan engkau meminta jawatan pemimpin. Sesungguhnya jika engkau diberikannya kerana permintaan, maka engkau akan dibebankan (yakni tidak ditolong). Sekiranya engkau diberikannya tanpa permintaan maka engkau dibantu oleh Allah.” (Al-Bukhari, hadis 6,622 dan Muslim, 1,652)

Melihat kepada perbincangan terhadap hadis-hadis tersebut, jelas menunjukkan bahawa soal kepimpinan tidak boleh diambil mudah oleh masyarakat.

Jawatan sebagai pemimpin bukan merupakan peluang untuk meraih kuasa dan pengaruh orang lain atau ruang untuk mengumpulkan kekayaan diri sendiri.

Bukan juga untuk menunjukkan kelantangan dan keras kepala serta melakukan tindak-tanduk mengikut sesuka hati kepada masyarakat.

Hakikatnya, segala permasalahan dalam masyarakat atau rakyat dipimpin berada di bawah tanggungjawab seorang pemimpin.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI