PETALING JAYA – Sering menunjukkan muka berkerut ketika menerima komen juri pada setiap minggu di konsert Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9), Shila Amzah dituduh tidak boleh menerima kritikan.
Bagaimanapun jelas Shila, 32, reaksi tersebut berlaku secara tidak sengaja kerana dia terlalu fokus untuk mendengar kritikan daripada juri dengan teliti.
“Bayangkan kalau sudah habis lakukan persembahan dengan penat, kemudian kena bagi tumpuan pula untuk mendengar komen juri. Saya pula apabila fokus, muka akan automatik berkerut.
“Lagipun saya pakai monitor telinga, suara juri tidak boleh didengari melalui alat tersebut.
“Kalau nak keluarkan, memang tidak sempat jadi saya harus mendengar dengan teliti sehingga tidak sengaja mengerutkan muka,” ujarnya kepada Kosmo! Online.
Perkara berkenaan menjadi isu selepas ada pengguna Twitter mendakwa penyanyi itu tidak boleh menerima komen negatif kerana ekpresi wajahnya sering berubah.
Malah pengguna itu juga mengandaikan keadaan tersebut punca Shila mudah terkesan dengan kritikan netizen.
Menjawab dakwaan tersebut, pelantun lagu Patah Seribu itu berkata, dia tidak menghalang pengguna media sosial melontarkan pandangan masing-masing.
Bagaimanapun, dia lebih gemar untuk mendengar perkara tersebut secara bersemuka.
“Orang dalam Twitter mempunyai jari untuk menulis pendapat mereka.
“Saya teringin nak berjumpa dan mendengar perkara sebegini secara bersemuka,” katanya.
Pada minggu separuh akhir GV9 yang berlangsung Ahad lalu, Shila berjaya mara ke pusingan final bersama lima lagi peserta iaitu Jaclyn Victor, Tomok, Bob Yusof, V.E dan Hazrul Nizam. – KOSMO! ONLINE