PETALING JAYA – Parti Warisan Sabah menyatakan sokongannya terhadap kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yang menduduki jumlah kerusi tertinggi dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) baru-baru ini.
Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, Warisan memberikan sokongannya terhadap PH dan BN kerana kedua-duanya memiliki jumlah kerusi mencukupi bagi membentuk sebuah kerajaan dan majoriti daripada pengundi juga telah memilih parti tersebut.
“PH dan BN patut diberi peluang bagi membentuk sebuah kerajaan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Beliau juga berharap agar PH serta BN dapat bersama-sama berganding bahu demi membentuk sebuah kerajaan Persekutuan yang stabil dan negara yang bersatu padu. – KOSMO! ONLINE