KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sempat melambai ke arah petugas media sebaik sahaja berangkat meninggalkan Istana Negara, kira-kira pukul 12 tengah hari tadi.
Baginda dilihat keluar dari Istana Negara dengan menaiki kenderaan yang dipandu sendiri.
Difahamkan, baginda mempunyai urusan peribadi di luar yang perlu diselesaikan.
Sementara itu, status Perdana Menteri ke-10 masih menjadi tanda tanya sehingga ke hari ini apabila setakat pukul 1 petang ini, tiada sebarang pergerakan masuk kenderaan yang membawa ketua parti dan ketua parti gabungan ke Istana Negara.
Semalam, Istana Negara dalam satu kenyataan berkata, Seri Paduka berkenan melanjutkan proses bagi ketua dan gabungan parti-parti politik mengemukakan gabungan pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan pencalonan Perdana Menteri Malaysia ke-10 sehingga pukul 2 petang hari ini selepas ditunda jadual asalnya semalam waktu sama.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan Parlimen Malaysia disifatkan berada dalam keadaan ‘tergantung’ selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tiada parti memperoleh majoriti lebih 50 peratus daripada 219 kerusi dipertandingkan pada PRU15 lalu. – KOSMO! ONLINE