fbpx

Pak belang baham dua ekor anak lembu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seekor anak lembu yang ditemui di Blok Enam ladang Felda Bukit Tongkat, Kluang dipercayai dibaham harimau pada Sabtu lalu.

KLUANG – Penduduk di ladang Blok Enam Felda Bukit Tongkat di sini dalam ketakutan apabila mendakwa seekor harimau sedang berkeliaran di kawasan tanah rancangan itu sejak Sabtu lalu.

Seorang peneroka, Mohamad Omar, 31, yang juga mandur berkata, kejadian dilaporkan oleh penternak lembu di Felda terbabit berlaku pada pukul 7 petang, Sabtu lalu.

Katanya, susulan daripada laporan itu, pihaknya telah membuat siasatan dan mendapati hanya seekor lembu ditemui mati dengan kesan gigitan binatang buas.

“Seekor lagi yang dilaporkan hilang gagal ditemui dan berkemungkinan sudah dibawa lari ke dalam hutan yang terletak berhampiran kawasan serangan.

“Susulan itu, satu laporan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Johor dilakukan untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Menurutnya lagi, harimau berkenaan dipercayai datang dua malam berturut-turut iaitu pada Sabtu dan Ahad lalu berdasarkan kedudukan anak lembu yang mati didapati beralih dari kedudukan asal pada hari pertama kejadian.

Ujarnya, kesan tapak kaki juga menambah keyakinan bahawa pemangsa adalah seekor harimau, namun tiada kelibat binatang itu kelihatan ketika siasatan dilakukan.

“Jika mengikut kata orang tua-tua dulu, seekor lagi anak lembu yang tidak dimakan itu dikatakan sebagai tunjuk ajar kepada anak-anak harimau yang mungkin ada bersama ketika itu.

“Oleh yang demikian, pekerja ladang sudah diingatkan agar berhati-hati kerana kebiasaanya harimau akan datang lagi selepas mendapati ladang kelapa sawit bersebelahan dengan Hutan Simpan Panti itu mempunyai makanan untuk mereka,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI