SEREMBAN – Seorang lelaki ditemui mati dengan kesan luka pada rusuk kanan dipercayai ditikam di sebuah rumah apartmen di Taman Bukit Delima di sini malam tadi, dipercayai berpunca daripada pergaduhan dengan seorang wanita.
Mayat lelaki berusia 50-an yang juga seorang penjual buah ditemui kira-kira pukul 9.30 malam semalam dalam keadaan terlentang di ruang tamu rumah.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, sebaik tiba di lokasi terdapat seorang wanita di dalam rumah dalam keadaan panik dan kesedihan.
Bagaimanapun, Nanda berkata, polis masih belum mendapat kesahihan sama ada wanita itu isteri kepada mangsa atau tidak dan dia ditahan untuk membantu siasatan.
Jelas Nanda, polis bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat daripada pengawal keselamatan apartmen yang memaklumkan terdapat kes kematian di situ.
“Sebaik sampai didapati satu mayat lelaki warga tempatan dalam keadaan terlentang dan terdapat kesan darah di beberapa lokasi dalam rumah.
“Pemeriksaan lanjut pada mayat berkenaan mendapati terdapat kesan luka pada rusuk kanan mangsa,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini malam tadi.
Menurut Nanda, polis turut menemui sebilah pisau pemotong sayur dipercayai senjata yang digunakan dalam kejadian tersebut.
“Siasatan juga mendapati wanita yang berada dalam rumah adalah warga Vietnam berusia 33 tahun dan dipercayai masuk ke negara ini pada Jun lalu. Bagaimanapun kami akan membuat semakan dengan pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
“Berdasarkan, maklumat awal yang kami terima daripada orang awam di sekitar lokasi, mereka memaklumkan terdengar pergaduhan antara mangsa dan wanita berkenaan kira-kira pukul 9 malam,”katanya.
Tambah Nanda, wanita berkenaan telah ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh.
Beliau berkata, polis masih mengesan saksi lain bagi membantu siasatan dan orang awam yang mempunyai maklumat diminta tampil menyalurkannya kepada polis. – KOSMO! ONLINE