SUNGAI BULOH – Kanak-kanak perempuan antara dua individu maut, manakala enam orang pula cedera dalam insiden kemalangan jalan raya di Kilometer 452, Lebuh Raya Utara-Selatan, arah selatan, awal pagi tadi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan insiden tersebut sekitar pukul 2.29 pagi dan sampai ke lokasi 26 minit kemudian.
Katanya, susulan laporan itu, seramai 14 anggota bergegas ke lokasi kejadian bersama dua jentera dari Balai Bomba Penyelamat (BBP) Rawang dan BBP Sungai Buloh.
“Laporan awal mendapati, kemalangan tersebut melibatkan dua kenderaan antara kereta Proton Wira dan Toyota Vios.
“Insiden tersebut menyebabkan lapan mangsa terlibat dan mendapati dua disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM), dua parah dan empat lagi cedera ringan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas beliau, kesemua mangsa berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum pihak bomba sampai ke lokasi kejadian.
Mengulas lanjut mengenai keadaan mangsa, Norazam memaklumkan kesemua mereka yang cedera dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh.
“Dua mangsa yang meninggal dunia adalah lelaki dewasa dan kanak-kanak perempuan, mangsa yang cedera pula dua wanita dewasa.
“Diikuti dengan jumlah yang cedera ringan pula seramai empat orang,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE.