KUALA LUMPUR – Pelakon Reen Rahim bertindak menutup ruangan komen Instagram kerana mahu mengelak perbalahan dalam kalangan netizen mengenai dirinya.
Reen Rahim atau nama penuhnya, Noreen Ashikin Abdul Rahim, 32, berkata, dia sudah lali dengan kecaman netizen yang sering membangkitkan isu berkaitan agama setiap kali dia memuat naik foto di Instagram.
“Saya sudah masak dengan permainan netizen, saya juga sedar ramai ‘ustazah’ serta tukang kecam dalam Instagram saya. Banyak pergaduhan antara netizen yang berlaku dalam ruangan komen gambar-gambar saya.
“Namun, saya tidak terkesan langsung dengan semua komen negatif tersebut. Saya baca dan enjoy dengan semua komen itu,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Tambah pelakon yang terkenal menerusi drama Pujaan Hati Kanda itu, dia juga tidak mahu mana-mana pihak yang terguris hati dengan semua perbalahan dalam ruangan komen.
“Kalau boleh saya tidak mahu ada yang berkecil hati atau terluka dengan semua komen negatif itu.
“Jadi, bagi mengelakkan perbalahan dan peminat-peminat marah dan kecewa dengan semua komen daripada netizen lain, saya tutup terus ruang komen,” ujarnya lagi.
Dedah Reen, dia menerima kecaman sejak awal kemunculannya dalam industri hiburan tanah air terutama mengenai isu berpakaian seksi.
“Tidak semestinya individu itu tidak menutup aurat, sikapnya jahat. Berhenti menghakimi orang lain, lebih baik doakan perkara yang baik untuk individu tersebut.
“Jadi, saya tidak mahu meminta apa-apa tetapi hanya memohon doa yang baik-baik daripada semua pihak sahaja,” ujarnya.