fbpx

G7 tuntut tindakan lebih keras ke atas Korea Utara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JON-UN berjalan bersama anak perempuannya ketika beliau memeriksa ICBM baharu di Lapangan Antarabangsa Pyongyang pada 18 November lalu. -- STR / KCNA VIA KNS / AFP

WASHINGTON – Negara-negara Kumpulan Tujuh (G7) kelmarin mengutuk pelancaran satu lagi peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) oleh Korea Utara sebagai ‘melulu’ dan mendesak Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengambil tindakan ‘signifikan’ untuk menghentikan ujian tersebut.

Menteri-menteri luar G7 berkata, pelancaran misil berulang kali oleh Korea Utara ‘menjejaskan lagi kestabilan serantau.

Misil yang dilancarkan oleh Pyongyang Jumaat lepas me­rupakan ICBM terbaharu­nya dengan jarak berpotensi untuk mengenai sasaran di ta­nah besar Amerika Syarikat (AS).

Kenyataan G7 itu menggesa ‘tindak balas bersekutu oleh masyarakat antarabangsa termasuk keperluan melaksanakan langkah-langkah signifikan selanjutnya oleh Majlis Ke­selamatan PBB’.

G7 terdiri daripada Kanada, Perancis, Jerman, Itali, Jepun, Britain dan AS. Seorang wakil Kesatuan Eropah turut me­nyertai kenyataan bersama itu.

Setakat bulan ini, Korea Uta­ra telah membedil 30 misil jarak dekat, sederhana dan jauh termasuk pelancaran pada Jumaat lalu yang jatuh di per­airan zon ekonomi eksklusif Jepun, barat Hokkaido.

Agensi berita Korea Utara (KCNA)  mendakwa bahawa misil yang dilancarkan pada Jumaat lalu itu adalah Hwasong-17. Menurut KCNA, misil itu adalah varian terbaharu dan merupakan antara ‘senjata strategik paling kuat di dunia.’

Agensi berita itu melaporkan bahawa pemimpin Korea, Utara, Kim Jong-un menyaksikan pelancaran terbaru itu bersama anak perempuannya.

Korea Utara melancarkan lebih banyak peluru berpandu pada 2022 berbanding mana-mana tahun sebelumnya.

Majlis Keselamatan meluluskan hampir 12 resolusi sekatan ke atas Korea Utara berhubung aktiviti nuklear dan peluru berpandunya sejak 2006.

Korea Utara juga menguji enam bom nuklear antara 2006 hingga  2017, dan berikrar tidak akan menghentikan program nuklear Pyongyang. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI