SUNGAI PETANI – Keletahnya yang comel dan manja menjadi penyeri dalam keluarga, namun segalanya berubah sekelip mata apabila Nurul Amelia Ramadhania Khairul Azman, 5, disahkan menghidap kanser saraf tahap empat, dua tahun lalu.
Lebih menyedihkan apabila selepas dua tahun menjalani rawatan kemoterapi dan radioterapi di Hospital Pulau Pinang, anak kecil itu hanya dapat bergantung kepada morfin dibekalkan hospital berikutan tiada lagi rawatan yang boleh dilakukan terhadapnya.
Ibunya, Masita Wahab, 45, berkata, rawatan radioterapi yang sepatutnya dilakukan sebanyak 22 kali berhenti selepas rawatan ke-13 kerana anaknya mengadu sakit sebelum doktor mengesahkan kanser sudah merebak ke kaki.
“Doktor akhirnya terpaksa menghentikan rawatan tersebut dan meminta supaya membawa dia pulang.
“Anak saya itu kini hanya bergantung dengan morfin yang diberi selama empat jam sekali, jika tidak seluruh badannya akan terasa sakit,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Berapit, Tikam Batu di sini baru-baru ini.
Masita berkata, episod duka keluarga mereka bermula ketika anaknya itu berusia tiga tahun.
Menurutnya, anaknya selalu demam dan sukar kebah walaupun diberi makan pelbagai ubat demam dan antibiotik menyebabkan dia dan suami, Hairul Azman Mohd. Yatim, 45, nekad membawa anak mereka ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini sebelum dilakukan ujian darah terhadapnya.
Katanya, keadaan anaknya ketika itu semakin teruk dengan perut membesar serta buncit selain matanya lebam bahagian atas dan bawah.
“Doktor kemudian membuat ujian imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) dan ketika itu kelihatan ada ketumbuhan berhampiran perut yang turut merebak ke paru-paru.
“Dia kemudian dirujuk ke Hospital Pulau Pinang dan selepas itu baru diketahui anak menghidap kanser saraf tahap empat yang sudah merebak ke tulang sum-sum,” katanya.
Menurutnya, walaupun diberitahu yang anaknya tidak mampu bertahan lama, namun dia tetap berdoa supaya Allah menyembuhkan penyakit anaknya itu dan sedaya upaya ingin memenuhi hajat anaknya itu.
Tambahnya, anaknya diberi minum susu khas untuk pesakit kanser dengan perbelanjaan mencecah RM600 sebulan.
“Selain itu, dia juga diberi makan ikan segar seperti ikan salmon dan jenahak segar sebagai sumber protein.
“Setakat ini perbelanjaan keluarga kami ditanggung sepenuhnya oleh suami saya yang bekerja sebagai pegawai imigresen, manakala saya pula suri rumah,” ujarnya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Masita di talian 013-5712230 atau menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN), Masita Wahab 0212441100021752.