JAKARTA – Gempa bumi cetek dengan kekuatan 5.6 pada skala Richter menggegarkan pulau utama Indonesia, Pulau Jawa hari ini, menyebabkan hampir 20 orang terkorban, kata seorang pegawai tempatan, manakala banyak bangunan rosak dan bencana tanah runtuh berlaku.
Pentadbir bandar Cianjur, Herman Suherman berkata, angka kematian itu dicatatkan di sebuah hospital di bandar itu sahaja. Menurutnya, ramai penduduk di perkampungan berdekatan masih menunggu untuk berpindah.
Cianjur merupakan bandar paling teruk terjejas dalam bencana alam tersebut.
“Maklumat yang saya dapat setakat ini adalah di hospital ini sahaja, hampir 20 orang mati dan sekurang-kurangnya 300 penduduk sedang dirawat. Kebanyakan mangsa mengalami kecederaan pada tulang akibat terperangkap di bawah runtuhan bangunan,” katanya.
Menurut Herman, waris mangsa berkumpul di Hospital Sayang, Cianjur dan memberi amaran bahawa angka korban dijangka terus meningkat berikutan ramai penduduk kampung di luar bandar itu mungkin masih terperangkap.
“Masih ramai keluarga di kampung-kampung berdekatan yang belum dipindahkan,” ujaranya.
Gegaran itu dirasai sehingga ke Jakarta yang terletak 100 kilometer dari Cianjur. – AFP