fbpx

K2

Latihan pembangunan permainan digital percuma

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DI Todak Academy, Cyberjaya, pendedahan mengenai sukan elektronik atau animasi diberikan kepada para pelajar yang berminat untuk mendalaminya.

SUKAN elektronik atau lebih dikenali sebagai e-sukan adalah sejenis bentuk pertandingan permainan video yang dimainkan sama ada secara individu, berpasukan atau multipemain.

Mula popular pada akhir tahun 2000, pertandingan e-sukan semakin mendapat tempat apabila pelbagai pertandingan telah dianjurkan di peringkat antarabangsa melibatkan pemain profesional.

Di Malaysia pula, perkembangan e-sukan semakin progresif. Bermula dengan pertandingan di peringkat tempatan anjuran kelab-kelab, sukan tersebut mula diiktiraf dan diperkenalkan pada Sukan Malaysia (Sukma) Perak pada tahun 2018.

Malah, Malaysia juga tidak ketinggalan dalam menghantar para atlet e-sukan ke Sukan Asia 2018 yang berlangsung di Jakarta, Indonesia selain Sukan SEA 2019 di Manila, Filipina.

Statistik terkini menunjukkan jumlah peminat e-sukan di negara ini sudah melebihi angka 60 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk negara.

Namun, tidak dapat dinafikan, konsep untuk menjadikan permainan video sebagai salah satu kerjaya sememangnya tidak masuk akal sewaktu dahulu.

Namun, ekoran kejayaan para atlet dalam kejohanan e-sukan, ia telah menjadikan perkara tersebut sebagai satu realiti.

Melihat kepada perkembangan positif dalam acara e-sukan, Todak Academy Sdn. Bhd. dengan kerjasama Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) di bawah Dana Perkasa TVET 1.0 telah mengambil langkah proaktif dengan menawarkan latihan secara percuma kepada golongan belia yang berminat mempelajarinya menerusi kempen Todak Belajar.

Dari kiri: Ahmad Fadli, Khairul Azlan dan Mohamad Taufik semasa majlis pelancaran Todak Belajar yang bertujuan menaja pembelajaran 300 pelajar atau pelatih di akademi itu.

Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Todak Holdings Sdn. Bhd. (Todak), Khairul Azlan Zainal Ariffin berkata, menerusi kempen tersebut, 300 pelajar akan dipilih untuk mengikuti kelas 3D Game Asset Production dan 2D Game Visual Art.

“Industri permainan video elektronik dan animasi ketika ini mempunyai pasaran besar dan memudahkan sesiapa saja untuk menjana pendapatan jika berilmu.

“Malah, memang tidak dapat dinafikan bahawa ramai belia kita yang minat bermain sukan elektronik tetapi pada masa ini, kita kekurangan tenaga kerja yang mahir dalam bidang pembangunan permainan.

“Justeru, Todak menerusi anak syarikat kami, Todak Academy menawarkan latihan dalam bidang berkaitan e-sukan bagi melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir yang memenuhi kehendak industri semasa.

“Kami ingin membantu penggiat industri atau graduan yang bekerja dengan syarikat berasaskan industri seni melalui penyediaan biasiswa penuh kepada 300 pelajar yang ingin menyambung pendidikan di Todak Academy,” katanya dalam majlis pelancaran kempen Todak Belajar yang berlangsung di Cyberjaya baru-baru ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Todak Studios, Ahmad Fadli Ahmad Dahlan lebih dikenali sebagai Neo Todak dan Ketua Pegawai Eksekutif Todak Academy, Mohamad Taufik Rizal Aminuddin.

Mengulas lanjut mengenai program Todak Belajar, beliau berkata, ia terbuka kepada mana-mana individu yang berminat memantapkan kemahiran pembangunan permainan digital mereka.

Apa yang menariknya kata beliau, semua pelatih akan diterima masuk secara percuma kerana program tersebut ditaja sepenuhnya oleh Todak Academy dengan nilai sehingga RM10,000 setiap seorang.

“Bakal pelatih kami akan dilatih oleh pelatih profesional yang berpengalaman dalam industri. Di Todak Academy, kita menekankan konsep latihan secara terus dari pemain industri.

“Ini penting bagi memastikan para pelatih didedahkan dengan industri lebih awal supaya tahap kebolehpasaran mereka lebih tinggi. Malah, kita di Todak akan memberikan peluang pekerjaan kepada bakal graduan yang cemerlang selepas tamat latihan nanti,” ujarnya.

Menurut Khairul Azlan lagi, selepas tamat latihan selama kira-kira tiga bulan, para pelatih akan dianugerahkan Sijil Profesional UTMSPACE, Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 3 dan Sijil Todak yang membolehkan mereka membina kerjaya dalam bidang permainan elektronik atau berkaitan.

Tambahnya, mana-mana individu yang berminat mengikuti latihan di Todak Academy boleh berbuat demikian dengan melayari laman www.todakacademy.com.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI