KANGAR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sedang mengkaji peraturan baharu berkaitan aktiviti penjualan petrol dan diesel yang mungkin akan dikuatkuasakan tidak lama lagi.
Ketua Setiausahanya, Datuk Azman Mohd. Yusof berkata, peraturan baharu itu dibuat bertujuan bagi mengatasi kegiatan yang menyalahi undang-undang sedia ada.
“Banyak aspek teknikal sedang diperhalusi untuk memastikan tiada ‘loopholes’ (kelemahan) semasa pelaksanaan pada masa akan datang,” katanya di sini semalam.
Menurut Azman, beliau sendiri sudah turun padang ke stesen-stesen minyak di negeri ini bagi melakukan siasatan, semakan dan perbincangan berhubung peraturan baharu itu.
Selain itu, katanya, kementerian juga mengambil inisiatif untuk mengkaji mekanisme berhubung keperluan mengadakan stesen minyak tanpa subsidi bagi kenderaan asing di negeri ini.
“Justeru, satu lawatan diadakan ke sebuah stesen minyak untuk melihat kebolehlaksanaan dan kapasiti bekalan yang boleh ditampung sekiranya mekanisme ini dilaksanakan,” ujarnya.
Pada masa sama, beliau meminta orang ramai membuat aduan rasmi berhubung dakwaan kenderaan Siam yang didakwa ‘mengutip’ diesel dari beberapa stesen minyak di negeri ini.
“Buat aduan secara rasmi melalui platform yang disediakan, bukannya menerusi media sosial kerana ia akan menyukarkan tindakan lanjut sebab banyak verifikasi yang perlu dilakukan,” katanya.
Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perlis, Fatimah Mohamed Ali Piah memberitahu, pihaknya membuat intipan dan tindakan berdasarkan maklumat awam tentang kebanjiran pikap Thailand yang memandu secara melulu dan melanggar peraturan lalu lintas kelmarin.
“Hasil intipan pasukan khas itu mendapati beberapa pikap Thailand berlegar di sekitar Kangar dan kenderaan tersebut berjaya ditahan di sebuah stesen minyak di sini,” katanya.
Jelasnya, pemeriksaan mendapati tidak terdapat sebarang pengubahsuaian yang melanggar peraturan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Walau bagaimanapun, kita mengeluarkan notis saman ke atas pemandu warga Thailand atas kesalahan menggunakan cermin gelap, tiada lesen memandu dan kesalahan mengabaikan tanda isyarat lalu lintas serta memandu melawan arus.
“Pemandu itu yang dikenakan tindakan saman turut menjelaskan kompaun sebanyak RM1,250 sebelum kenderaan dilepaskan,” katanya.
Tambahnya, setiap pesalah warga asing yang dikenakan tindakan saman oleh JPJ perlu menjelaskan kompaun serta-merta sebelum meninggalkan negara ini.