AL KHOR – Penampilan pertama Qatar di pentas Piala Dunia berakhir dengan penuh kekecewaan apabila merekodkan sejarah buruk pada pentas berprestij dunia itu.
Kekalahan 0-2 kepada Ecuador di Stadium Al Bayt awal pagi semalam menyaksikan Qatar menjadi tuan rumah pertama tewas pada perlawanan pembukaan dalam sejarah 92 tahun penganjuran Piala Dunia.
Ketua Jurulatih Qatar, Felix Sanchez tidak dapat menerima hakikat itu apabila mengkritik anak-anak buahnya kerana terlalu gugup memulakan aksi pertama Kumpulan A tersebut.
Apa yang lebih mengecewakan beliau adalah The Maroon gagal bermain permainan sebenar dan kesilapan sendiri membolehkan Ecuador meledak dua gol melalui Enner Valencia pada minit ke-16 serta 31.
“Saya tidak mahu memberi alasan, sebaliknya mengucapkan tahniah kepada pihak lawan kerana mereka berhak memenangi perlawanan ini.
“Kami merasai sokongan para penyokong dan harap mereka akan lebih berbangga dengan kami pada aksi seterusnya. Mereka tahu kami mampu lakukan dengan lebih baik.
“Perasaan gugup menghukum kami selepas bermula dengan teruk. Kami tidak dapat melakukan hantaran dengan betul, pertahanan juga longgar dan tidak seimbang sekali gus menyukarkan kami,” katanya.
Tugas Qatar lebih berat selepas ini apabila bertemu juara Afrika, Senegal (25 November) sebelum melengkapkan aksi terakhir Kumpulan A menentang Belanda pada 29 November.
– AGENSI