DOHA – Denmark bakal memulakan perjuangan mereka di Piala Dunia Qatar 2022 dengan menentang Tunisia malam ini dengan status sebagai pasukan yang dilihat mampu melakar kejutan sekiranya semua berjalan dengan lancar.
Kunci utama buat Denmark adalah pertembungan menentang Perancis di mana mereka telah berjaya melakar kemenangan dalam dua aksi ketika saingan Liga Negara-Negara Eropah sebelum ini.
Bagaimanapun, mereka tidak boleh memandang mudah cabaran yang mampu diberikan Tunisia ketika pasukan kendalian Jalil Kadri itu meraih kemenangan 2-0 mengatasi Iran pada aksi persahabatan terakhir.
Bagi memastikan perjalanan mereka berjalan lancar, Denmark pastinya akan kekal mempertaruhkan pemain tengah berpengalaman, Christian Eriksen untuk memacu pasukan itu memburu kemenangan.
“Selepas dia (Eriksen) kembali pulih, prestasinya menjadi sangat menakjubkan. Ketika dia turun bersama kami buat kali pertama semula ketika menentang Belanda, dia berjaya mengawal perlawanan dan menjaringkan gol. Kemudian Eriksen terus menjadi bertambah baik.
“Dia adalah nadi pasukan kami. Rentak permainan Denmark bergantung kepada Eriksen dan saya mampu katakan bahawa dia adalah pemain yang luar biasa,” kata Ketua Jurulatih Denmark, Kasper Hjulmand.
Berdasarkan senarai pemain, Hjulmand dilihat masih menaruh keyakinan kepada hampir sebahagian besar pemainnya yang membawa cabaran mereka pada aksi Euro 2020 yang lalu. – AGENSI