DOHA – Kapten Poland, Robert Lewandowski yakin mampu menamatkan kemarau jaringannya di pentas Piala Dunia 2022 selepas gagal melakukannya pada edisi 2018 di Rusia.
Lewandowski, 34, memegang status antara penyerang prolifik di Eropah selain penjaring terbanyak sepanjang zaman Poland dengan 76 gol daripada 134 perlawanan antarabangsa.
Kecemerlangannya itu gagal membantunya untuk meledak sebarang gol bersama Poland ketika Piala Dunia 2018 yang menyaksikan negara berkenaan tersingkir di peringkat kumpulan.
Justeru, Lewandowski bertekad menutup mulut pengkritik apabila berjanji meledak gol buat Poland menjelang aksi pertama Kumpulan C menentang Mexico di Stadium 974 awal pagi esok.
Keyakinan bintang Barcelona itu berdasarkan prestasi semasanya yang sudah meledak 18 gol daripada 19 perlawanan dalam semua kejohanan bersama gergasi Sepanyol tersebut musim ini.
“Saya sentiasa memikirkan mengenai Piala Dunia sebelum ini kerana saya gagal menjaringkan gol. Ia satu perasaan yang sukar dijelaskan apabila anda dapat ledak gol di Piala Dunia.
“Kali ini saya tidak mahu mensia-siakannya kerana inilah impian saya dan juga semua penyerang. Saya harap ia menjadi kenyataan apabila bertemu Mexico nanti,” kata Lewandowski. – AGENSI