KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob beredar meninggalkan Istana Negara di sini, sebentar tadi.
Kenderaan membawa Naib Presiden UMNO itu dilihat keluar pada pukul 4.15 petang melalui pintu utama Istana Negara.
Bagaimanapun, tujuan pertemuan beliau dengan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang berlangsung selama lebih sejam itu masih tidak diketahui dan menjadi tanda tanya.
Dalam masa sama, sebuah lagi kenderaan dipercayai membawa Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd. Zuki Ali turut dilihat keluar melalui pintu utama selang beberapa minit kemudian.
Terdahulu, Seri Paduka Baginda berkenan untuk melanjutkan tempoh pencalonan bakal Perdana Menteri Malaysia ke-10 sehingga pukul 2 petang esok.
Titah perkenan Seri Paduka Baginda itu susulan permohonan daripada ketua parti-parti politik dan gabungan parti-parti politik yang telah diterima oleh pihak Istana Negara hari ini.
Menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin, Al-Sultan Abdullah menyeru dan menasihati seluruh rakyat bersabar dan bertenang sehingga proses pembentukan kerajaan baharu dan pencalonan bakal Perdana Menteri Malaysia ke-10 selesai. – KOSMO! ONLINE
@kosmoonline Kenderaan membawa Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri meninggalkan Istana Negera pada pukul 4.15 petang tadi. #beritatiktok #istananegara ♬ original sound – Kosmo!