HULU LANGAT – Mayat seorang lelaki ditemui lemas setelah dihanyutkan arus deras dan tersepit di celah batu di Sungai Semungkis, di sini, pagi tadi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian sekitar pukul 11.40 pagi.
Menurut Norazam, dan seramai lima anggota bersama satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Tun Hussein Onn dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, kami mendapat makluman bahawa seorang lelaki berusia 22 tahun berkenaan lemas setelah dihanyutkan arus deras dan tersepit di celah batu.
“Pihak bomba mengeluarkan mangsa dengan bantuan Unit Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) pada pukul 11.53 pagi.
Jelasnya, mangsa, Hussain Hakimi Ridzuan berkunjung ke sungai berkenaan bersama tujuh lagi rakannya yang lain.
“Mangsa berjaya di bawa naik ke darat pukul 1.21 petang dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini. -KOSMO! ONLINE.