PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tiba di Istana Negara sebentar tadi.
Kenderaan membawa Ahli Parlimen Bera itu dilihat memasuki pintu utama Istana Negara kira-kira pukul 2.50 petang tadi.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melanjutkan tempoh pencalonan bakal Perdana Menteri Malaysia ke-10 sehingga pukul 2 petang esok.
Titah perkenan Seri Paduka Baginda itu susulan permohonan daripada ketua parti-parti politik dan gabungan parti-parti politik yang telah diterima oleh pihak Istana Negara hari ini.
Menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin, Seri Paduka Baginda menyeru dan menasihati seluruh rakyat bersabar dan bertenang sehingga proses pembentukan kerajaan baharu dan pencalonan bakal Perdana Menteri Malaysia ke-10 selesai. – KOSMO! ONLINE