GEORGE TOWN – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membuka lapan kertas siasatan melibatkan kakitangan kerajaan negeri sepanjang tempoh dua tahun sejak 2020.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kertas siasatan tersebut adalah berkaitan dengan kesalahan rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan.
“Kerajaan negeri Pulau Pinang terbuka bagi menerima sebarang siasatan berkaitan jenayah rasuah dan salah guna kuasa melibatkan kakitangan kerajaan negeri.
“Sepanjang tahun 2020 hingga 2022, SPRM telah membuka sebanyak lapan kertas siasatan terhadap individu-individu yang berkenaan,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
Kon Yeow (DAP-Padang Kota) menjawab soalan Mohd. Yusni Mat Piah (Pas- Penaga) berkenaan kes SPRM yang disiasat SPRM melibatkan Exco, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan kakitangan kerajaan negeri.
Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, sebarang bentuk kesalahan akan disiasat oleh agensi penguatkuasaan dan disabitkan kesalahan oleh pihak pendakwaan.
“Bagi siasatan yang melibatkan kakitangan kerajaan negeri, Pihak Berkuasa Tatatertib (PBT) boleh mengambil tindakan di bawah Peraturan 44, Peraturan-Peraturan Penjawat Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 atau Peraturan-Peraturan Penjawat Awam (Kelakuan dan Tatatertib) (Pulau Pinang) 1997 bagi tujuan penahanan kerja sekiranya melibatkan prosiding jenayah,” katanya.
Tambahnya, dalam tempoh penahanan kerja di bawah peraturan itu, seseorang pegawai berhak melainkan jika dan sehingga pegawai itu digantung kerja atau dibuang kerja untuk menerima tidak kurang daripada setengah emolumennya sebagaimana yang difikirkan patut oleh PBT yang berkenaan.
Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, kerajaan negeri telah dan akan mengambil tindakan terhadap semua laporan SPRM setelah laporan lengkap diterima daripada SPRM berhubung salah laku kakitangan kerajaan sekiranya kes tersebut tidak disabitkan kesalahan di peringkat mahkamah.
“Kerajaan negeri tidak akan menyembunyikan sebarang maklumat berkaitan laporan SPRM. Namun kerajaan negeri meminta SPRM supaya telus dalam menyatakan bilangan kes yang didakwa di mahkamah dan jumlah penjawat awam yang didapati bersalah.
“Kerajaan negeri meminta ketelusan SPRM bagi memastikan imej kerajaan negeri dan penjawat awam di Pulau Pinang tidak tercalar hanya disebabkan jumlah aduan yang diterima sejak tahun 2019,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE