PETALING JAYA – Tewas di Parlimen Sungai Buloh, namun calon Barisan Nasional (BN), Khairy Jamaluddin menang di hati sebahagian besar rakyat Malaysia yang mengkagumi karismanya selaku pemimpin berintegriti.
Keperibadian figura politik berusia 46 tahun itu nyata membuatkan ramai menumpang duka sebaik keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi kerusi kawasan tersebut jatuh ke tangan calon PKR dengan majoriti tipis sebanyak 2,693 undi.
Tidak hairan, laman sosial Khairy atau KJ dibanjiri lebih 27,000 komen selain hampir 500,000 tanda suka pada hantaran yang dikongsinya tengahari semalam.
Malah selebriti tanah air juga tidak ketinggalan meninggalkan kata-kata semangat selain yakin ikon pemimpin muda itu bakal kembali bangkit dengan lebih kuat pada masa musim akan datang.
Aktres dan pengacara, Mira Filzah antara mereka yang tidak putus harap supaya bekas Menteri Kesihatan itu dapat kembali lagi di barisan pemimpin hadapan.
Penyanyi Jason Lo pula menyatakan, hanya ada seorang saja Khairy dan beliau diperlukan dalam memantapkan masa depan negara lebih daripada yang difikirkan ramai.
Sementara itu, pelakon Umie Aida pula menyifatkan kekalahan KJ sebagai satu perihal yang bermaruah apabila tidak sampai sebulan berkempen berjaya meraih 48,250 undian.
“Ada dua jenis pejuang. Pertama yang berjuang kerana benci, satu lagi berjuang kerana cinta. Teruskan perjuangan anda, kami sentiasa di sisi,” luah pelakon, Nora Danish.
“Terima kasih atas khidmat, kami tahu anda akan kembali dengan lebih kuat,” tulis penyanyi dan pengacara, Alif Satar.
Antara artis lain yang turut memberikan komen termasuk Scha Alyahya, Intan Najuwa, Sherry Ibrahim, Zulin Aziz, Fatin Afeefa, Wak Doyok, Fizo Omar, Fara Fauzana, Elfira Loy, Azza Elite dan Yana Samsudin.
Terdahulu, Khairy memuat naik hantaran di Instagram mengenai usaha yang dilakukannya sepanjang kempen PRU15 sudah sehabis baik.
Biarpun masih belum memutuskan apa yang akan dilakukan selepas ini, beliau dilihat akan mencari punca sebenarnya dan kembali bangkit selepas ini.
Bagaimanapun, Khairy mengakui semua itu satu keistimewaan buat dirinya apabila sebelum ini dapat berkhidmat kepada negara dalam tempoh pandemik, selain gembira melihat pencapaian Malaysia yang pulih lebih baik daripada kebanyakkan negara lain.
Menerusi keputusan undian, Khairy memperoleh 48,250 undi dan tewas kepada Datuk R. Ramanan (PKR) yang meraih 50,943 dengan perbezaan tipis 2,693 undi.
Calon Perikatan Nasional (PN), Mohd. Ghazali Md. Hamin pula menerima 29,060 undi, manakala calon Pejuang, Mohd. Akmal Mohd. Yusof mendapat 829 undi.
Ahmad Jufliz Faiza dari Parti Rakyat Malaysia (PRM) menerima 279 undi, Syed Abdul Razak Syed Long Alsagof (Bebas) dengan 165 undi dan Nurhaslinda Basri (Bebas) meraih 113 undi. – KOSMO! ONLINE