KUALA LUMPUR – Istana Negara menjadi tumpuan hari ini susulan pemimpin parti-parti politik dijangka akan mengemukakan calon Perdana Menteri ke-10.
Kira-kira 70 pengamal media tempatan dan antarabangsa dilihat sudah berkampung di pekarangan pintu 2 istana Negara sejak pukul 8 pagi tadi.
Ia susulan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar ketua parti dan ketua gabungan parti politik dengan jumlah kerusi yang banyak memaklumkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun bagi pembentukan kerajaan baharu.
Terdahulu, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh jelas menyatakan tiada parti politik berjaya memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan baharu.
Ia kerana keputusan PRU15 menyaksikan Pakatan Harapan (PH) memenangi sebanyak 82 kerusi Parlimen, diikuti Perikatan Nasional (PN) 73 kerusi, Barisan Nasional (BN) 30 kerusi dan Gabungan Parti Sarawak (GPS), 22 kerusi.
Selain itu, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memperoleh enam kerusi dan calon Bebas, dua kerusi.
Semalam, beberapa pertemuan antara pimpinan tertinggi PN dilaporkan berlangsung dipercayai sebahagian usaha bagi membentuk kerajaan.
Ketika ini, desas-desus bahawa Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin akan diangkat sebagai Perdana Menteri ke-10 semakin kuat apabila beliau menyatakan mempunyai sokongan majoriti.
Bagaimanapun, Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim juga mendedahkan mempunyai jumlah majoriti sama dan yakin akan diberi peluang untuk memerintah negara. – KOSMO! ONLINE