SHAH ALAM – Juri tetap Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9), Hetty Koes Endang dilabel ‘bias’ apabila memberikan komen positif kepada Shila Amzah pada konsert separuh akhir malam ini.
Usai persembahan, Hetty tampak gembira dengan persembahan Shila yang membawakan lagu Sang Dewi nyanyian asal Titi DJ.
“Kalau seorang peserta tidak mampu menyanyikan lagu ini dengan teknik yang betul memang habislah.
“Segala teknik, pernafasan, penjiwaan lagu, dan nada tinggi sangat berhasil,” komen penyanyi Indonesia itu.
Namun, rata- rata netizen dalam gelanggang Twitter tidak berpuas hati dengan persembahan pelantun lagu Patah Seribu itu.
“Nyanyian Shila tidak cukup lancar pada malam ini.
“Saya minta maaf tapi persembahan Shila agak teruk malam ini. Bonda (nama gelaran Hetty) sangat ‘bias’.
“Bonda tidak memaklumkan perkara yang sebenar tentang persembahan Shila,” beberapa ciapan netizen dalam media sosial.
Pada minggu separuh akhir, Shila memenangi Bintang Cuckoo Paling Gempak manakala Anugerah Next Level Digi milik Dina Nadzir. – KOSMO! ONLINE