fbpx

Piala Malaysia: JDT tempah tiket ke final

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BERGSON DA SILVA berjaya melepasi pemain pertahanan Sabah FC, Gerald Gadit pada perlawanan kedua separuh akhir Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor malam ini.

ISKANDAR PUTERI – Pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) melangkah ke pentas akhir Piala Malaysia buat tiga tahun berturut-turut setelah menewaskan Sabah FC dengan agregat 4-1 di Stadium Sultan Ibrahim, sebentar tadi.

Pasukan bimbingan Hector Bidoglio itu menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri dengan memberi tekanan kepada pasukan lawan sebaik minit pertama.

Keadaan ini memaksa pasukan kendalian Datuk Ong Kim Swee lebih banyak bertahan bagi mengelakkan bolos gol awal setelah ketinggalan 0-1 pada aksi babak pertama.

Mesin gol JDT itu berjaya merobek gawang Sabah pada minit ke-35 memanfaatkan hantaran Corbin Ong yang tidak dikawal dengan melakukan tandukan terbang melepasi kawalan penjaga gol.

Enam minit berselang, gawang Sabah dibolosi sekali lagi hasil jaringan Forestieri untuk meletakkan JDT di kedudukan yang selesa pada minit ke-41.

Gerakan berpunca daripada Afiq Fazail bijak mencari Arif Aiman yang melakukan larian ke dalam kotak sebelum memberi ruang kepada Forestieri melakukan rembatan deras menggegar gawang lawan.

Arif Aiman hampir meletakkan namanya dalam senarai penjaring pada minit akhir babak pertama namun percubaan pemain sayap kanan itu berjaya diselamatkan penjaga gol lawan.

Bersambung babak kedua, Kim Swee cuba menghidupkan sisa peluang Sabah untuk ke pentas akhir Piala Malaysia dengan memperkuatkan jentera serangan dengan membawa masuk N. Thanabalan.

Sabah mengejutkan pasukan tuan rumah apabila merapatkan kedudukan dengan menghukum kesilapan penjaga gol, Farizal Marlias yang gagal menangkap kemas sebelum Taiki Kagayama pantas menolak bola ke dalam gawang lawan pada minit ke-47.

Lima minit berselang, Sabah berpeluang untuk menyamakan kedudukan namun tandukan yang dilakukan Amri Yahyah jauh tersasar dari pintu gol JDT.

Pada masa kecederaan, JDT dihadiahkan sepakan penalti setelah Akhyar Rashid yang baharu dibawa masuk dijatuhkan Gerald Gadit dalam kotak penalti, malangnya gagal disempurnakan Safawi Rasid apabila sepakannya melambung tinggi.

Syafiq Ahmad yang dibawa masuk menggantikan Bergson menghasilkan gol terakhir perlawanan untuk memastikan JDT melangkah ke final dengan bergaya.

JDT akan mengetahui siapa lawan mereka di pentas akhir apabila Terengganu menerima kunjungan Selangor FC bagi aksi separuh akhir kedua di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus, Terengganu, esok. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI