DI sebalik kejayaan seseorang itu dalam sukan, pasti ada insan yang tidak pernah jemu melatih bagi memastikan mereka memperoleh kemenangan.
Pensyarah Fakulti Kejuruteraan dan Elektrik, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Madya Dr. Nasrul Humaimi Mahmood merupakan salah seorang insan yang tidak pernah jemu memperkasa sukan catur di Johor.
Sebagai Ketua Jurulatih Pasukan Catur Para Johor, dia telah berjaya membantu negeri berkenaan merangkul 14 pingat emas, enam perak dan lima gangsa di temasya Sukan Para Sukma 2022.
Temasya tersebut berlangsung di ibu negara pada 1 hingga 6 November lepas.
Kejayaan yang dirangkul skuad tersebut berjaya memperbaiki keputusan pada Sukan Para Sukma 2018 yang berlangsung di Ipoh, Perak.
Ketika itu, pasukan Johor sekadar merangkul lapan emas, enam perak dan empat gangsa.
Berkongsi sejarah penglibatannya dalam catur, Nasrul Humaimi memberitahu, dia mula berkecimpung dalam sukan itu selepas menerima tawaran sebagai jurulatih catur para Johor ke Sukan Para Sukma 2016 yang berlangsung di Kuching, Sarawak.
Hasilnya, pasukan catur para Johor telah berjaya mendapat lima pingat emas di temasya tersebut.
Kemudian, anak jati kelahiran Kelantan itu telah dilantik sebagai salah seorang jurulatih kebangsaan sempena Sukan Para Asean 2017 di Kuala Lumpur.
Pada ketika itu, pasukan negara telah berjaya membawa pulang dua emas, dua perak dan dua gangsa.
“Alhamdulillah, menerusi sedikit sumbangan yang diberikan, saya sekali lagi dilantik menjadi ketua jurulatih kebangsaan.
“Bezanya kali ini saya diberi tanggungjawab membimbing atlet catur para ke Sukan Para Asia yang berlangsung di Jakarta, Indonesia pada tahun 2018,” katanya yang telah berkhidmat selama 22 tahun sebagai pensyarah di UTM.
Atas dasar kepentingan menjaga kebajikan semua atlet catur para Johor, Nasrul Humaimi telah menjadi pencetus kepada penubuhan Persatuan Catur Orang Kurang Upaya Negeri Johor (PCOKUNJ) pada Ogos 2017.
Sebagai presiden persatuan, dia bersama-sama Ahli Majlis Tertinggi PCOKUNJ sentiasa memastikan aktiviti catur berjalan lancar, mengumpul dana, melatih serta mencungkil bakat-bakat baharu untuk diketengahkan pada kejohanan kompetitif.
Ditanya mengenai cabaran dihadapi sepanjang mengendalikan latihan persediaan Sukan Para Sukma 2022, Nasrul Humaimi mengakui, banyak halangan yang terpaksa ditempuhi pasukannya.
“Selepas Sukan Para Sukma 2020 yang dijadualkan berlangsung di Johor dibatalkan disebabkan pandemik Covid-19, agak sukar untuk meneruskan latihan terutama melatih pemain yang mempunyai masalah penglihatan.
“Malah, semangat beberapa atlet terjejas disebabkan pembatalan itu. Ketika itu, memang tidak ada pertandingan secara bersemuka.
“Mujur ada beberapa pertandingan catur secara atas talian sepanjang pandemik Covid-19. Menerusi, pertandingan maya berkenaan, semua atlet berpeluang meningkatkan prestasi mereka sambil membuat analisa permainan bersama jurulatih.
“Apabila kes jangkitan Covid-19 semakin reda dalam kalangan masyarakat, latihan secara bersemuka mula dilaksanakan. Ia bagi memastikan atlet membiasakan diri sebelum menghadapi kejohanan sebenar,” ujarnya.
Untuk makluman, Nasrul Humaimi dikenali sebagai seorang jurulatih yang mudah didekati dan memahami kehendak atlet.
Sejak kehadiran Nasrul Humaimi, pencapaian pasukan catur para Johor meningkat secara mendadak. Ia dapat dilihat menerusi peningkatan pungutan pingat emas oleh pasukan itu.
Ditanya mengenai impiannya bagi catur, bapa kepada empat cahaya mata itu memberitahu, atlet sukan berkenaan perlu diberi pendedahan seperti atlet sukan-sukan lain.
“Saya berharap sukan catur akan menjadi penyumbang pingat terbanyak kepada kontinjen negara pada masa depan.
“Namun, semua pihak perlu berganding bahu bagi merealisasikan impian ini termasuk para atlet itu sendiri.
“Pada kesempatan ini, saya ingin mengucapkan terima kasih buat UTM yang memberikan kepercayaan, peluang dan ruang kepada saya untuk terus memberi khidmat kepada komuniti orang kelainan upaya,” katanya.
Nasrul Humaimi juga merupakan jurulatih pasukan catur UTM yang mendapat pingat emas dalam acara catur lelaki berpasukan di temasya Sukan Staf Universiti Malaysia 2022.