PETALING JAYA – Segmen pembersihan adalah satu industri yang paling penting bukan sahaja di pasaran domestik tetapi juga di peringkat global.
Para pekerja yang terlibat dalam sektor pembersihatan memainkan peranan yang penting kerana tanpa mereka, suasana di premis pejabat termasuk di tandas, lif dan juga di seluruh bangunan akan menimbulkan satu suasana yang tidak menyihatkan, malah membayangkan imej negatif kepada pelawat.
Misi mereka setiap hari adalah untuk memastikan persekitaran pejabat sentiasa bersih, lebih selesa dan selamat malah mereka menunaikan tanggungjawab tersebut dengan semangat dedikasi, bersungguh dan berdisiplin.
Salah satu syarikat yang terlibat dalam industri pembersihan di Malaysia adalah Karcher yang berpengalaman dalam bidang tersebut selama 87 tahun.
Syarikat tersebut sentiasa berusaha untuk menawarkan khidmat penyelesaian terbaik bagi setiap tugasan pembersihan yang dipertanggungjawabkan.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Karcher Cleaning Systems Sdn. Bhd. di sini baru-baru ini, bagi menyokong memenuhi keperluan pembersihan pelanggan dengan cara yang mesra ekonomi dan alam sekitar, pihaknya sentiasa memastikan para pekerjanya bersedia memenuhi tugas masing-masing.
Bagi menghargai usaha dan bakti mereka berkhidmat di pelbagai syarikat dan industri, Karcher telah menganjurkan satu majlis bertemakan ‘Hari Terima Kasih Pekerja Pembersihan’ sebagai sebahagian daripada program Tanggungjawab Sosial Korporat dan Kemampanannya di sebuah hotel di sini baru-baru ini’.
“Ia bertujuan untuk mengiktiraf usaha gigih yang dilakukan oleh pekerja pembersihan selain menyatakan penghargaan dan terima kasih kepada mereka,” ujarnya.
Pada majlis berkenan, Karcher menyampaikan trofi dan sijil penghargaan kepada 10 pekerja pembersihan atas prestasi kerja mereka yang luar biasa dan membanggakan selama ini. -KOSMO! ONLINE