MINAT mendalam terhadap minuman berkafein telah mendorong gadis bernama Nur Sara Zallea Mohamed Nazrul untuk bekerja sebagai barista.
Sejak tamat Sijil Pelajaran Malaysia, gadis yang mesra disapa Sara Zallea nekad untuk bekerja sambilan mencari duit poket sebelum menyambung pengajian.
Cerita gadis berusia 22 tahun itu, dia memilih barista sebagai kerja sambilan kerana minat mendalam dengan aroma kopi, selain ‘hantu’ kepada minuman berkenaan.
Katanya, pelbagai pengalaman diperoleh sepanjang bergelar barista sehingga membuatkannya sukar untuk berenggang dengan kerjaya itu.
“Jadi barista bukan setakat buat kopi yang pelanggan mahukan, malah kita kena belajar juga teknik membuat kopi yang betul mengikut prosedur operasi standard ditetapkan.
“Tidak setakat itu, barisan barista juga diberi ilmu mengenai jenis biji kopi yang digunakan sebelum menghasilkan minuman. Ini kerana, setiap biji kopi berbeza aroma serta rasa,” katanya membuka bicara.
Meneruskan perkongsian, Sara Zallea memberitahu, dia terpaksa mengundurkan diri selepas beberapa bulan berkhidmat sebagai barista setelah mendapat tawaran menyambung pengajian di Universiti Malaya (UM).
Gadis kelahiran Selangor itu memaklumkan, dia memilih untuk menyambung pengajian dalam bidang kejuruteraan biomedik kerana mahu bergelar jurutera biomedikal.
“Saya memang minat dengan bidang kejuruteraan sejak di bangku sekolah lagi. Saya sukakan cabaran. Setelah fikir masak-masak dan melihat kepada kecenderungan minat, saya memilih untuk belajar dalam bidang ini.
“Kini saya sudah berada di tahun ketiga di UM. Alhamdulillah, pengajian saya berjalan lancar, walaupun terpaksa mengharungi pandemik Covid-19 yang sedikit sebanyak mengganggu perancangan asal,” katanya.
Skeptikal masyarakat terhadap pelajar jurusan kejuruteraan adalah 24 jam hidup bertemankan buku tanpa kehidupan lain. Sara Zallea mengakui pernah berdepan situasi serupa.
Ujarnya, skeptikal tersebut perlu diubah kerana bukan pelajar jurusan kejuruteraan sahaja yang digelar ulat buku dan nerd.
“Macam saya sendiri, walaupun ambil jurusan kejuruteraan yang umum tahu agak sukar, tetapi saya masih ada masa untuk bersosial bersama rakan-rakan.
“Saya selalu sertai tarian dan pernah memasuki pertandingan mewakili universiti. Bagi saya, menari dapat meningkatkan tahap keyakinan seseorang.
“Tidak kisah sama ada tarian kontemporari, klasik atau moden,” katanya yang turut aktif dalam program kesukarelawan dan alam sekitar di universiti.
Apa yang menarik, walaupun sibuk dengan jadual harian yang padat, namun dia tidak meninggalkan kerjaya sebagai barista buat selamanya.
“Selepas sambung pengajian di universiti beberapa tahun lalu, saya tekad untuk mencari wang saku dan pendapatan sampingan. Kerja yang bermain dalam fikiran saya cuma sebagai barista.
“Jadi, saya kembali menjadi barista secara sambilan sepanjang bergelar mahasiswi di universiti.
“Ketika ini, jadual kelas memang penuh pada waktu pagi. Jadi, sebelah petang saya akan bekerja sambilan,” katanya yang selesa menjalani kehidupan kampus seperti itu.
Ditanya mengenai perancangan selepas tamat pengajian sarjana muda, anak sulung daripada empat beradik itu memberitahu, dia bakal menyambung pengajian di peringkat sarjana dalam bidang sama.
“Insya-Allah, jika tiada apa-apa aral melintang, saya merancang untuk sambung ke peringkat master dalam bidang sama.
“Doakan rezeki saya untuk bergelar jurutera bioperubatan tercapai pada satu hari nanti. Apa-apa pun, teruskan melangkah menggapai impian dan jangan sesekali putus asa di pertengahan jalan,” katanya sebelum menutup bicara.