JAKARTA – Kementerian Kesihatan Indonesia (Kemenkes) akan melaksanakan program vaksinasi di seluruh wilayah Aceh pada 28 November hingga 5 Disember tahun ini, lapor stesen penyiaran CNN Indonesia.
Langkah itu diambil berikutan penemuan kes polio jenis 2 di daerah Pidie pada 10 November lalu.
“Kita akan memulakan vakinasi menyeluruh di Pidie pada 28 November hingga 5 Disember untuk semua daerah di seluruh Aceh,” kata Ketua Pengarah Pencegahan dan Pengawalan Penyakit (P2P) Kementerian Kesihatan, Maxi Rein Rondonuwu kelmarin.
Maxi berkata, seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun didapati dijangkiti virus polio jenis 2 dengan gejala lumpuh di kaki kirinya.
Pesakit itu pada awalnya mengalami demam sejak 6 Oktober lalu, sebelum lemah dalam pergerakan anggota badan.
Selepas kaki kirinya tidak pulih, kanak-kanak itu dibawa ke Hospital Teuku Chik Ditiro, bandar Sigli. Dia dirawat sehingga 18 Oktober lalu.
Akibat keadaannya yang tidak pulih, pakar kanak-kanak hospital itu mula syak mengenai tanda-tanda gejala polio dan memutuskan untuk melakukan ujian lanjut. Hasil pemeriksaan mendapati pesakit positif polio jenis 2.
Maxi berkata, pesakit itu tidak mempunyai sejarah imunisasi polio sebelum ini dan tidak melancong ke luar negara. Dia kini sudah boleh berjalan dengan bantuan fisioterapi.
Maxi menekankan kepentingan imunisasi yang menyeluruh di Indonesia. Beliau yakin jika imunisasi dilaksanakan dengan betul, virus polio akan terhapus menjelang 2026. – Agensi