SETIAP insan yang masih bernyawa di atas muka bumi ini akan pasti akan berdepan situasi sukar saat meniti perjalanan hidup yang berbaki sebelum diri dijemput Sang Pencipta.
Ujian kehidupan ini adalah tanda Allah SWT menegur dan sayang kepada kita agar kita mencari jalan yang diredai-Nya.
Sebagai rujukan naratif di atas, pada 11 November lalu, kita dikejutkan dengan insiden pilu apabila pelakon dan selebriti media sosial, Syazlin Zainal, 26, maut selepas terjatuh dari tingkat 22 di sebuah pangsapuri di Taman Iskandar, Johor Bahru, Johor.
Siasatan awal polis mendapati, kejadian itu tiada unsur jenayah dan disyaki pelakon drama Oh My Hantaran itu mengakhiri riwayat hidupnya dengan cara yang menyayat hati.
Pelbagai spekulasi dibicarakan masyarakat khususnya pelayar media sosial termasuk mendakwa gadis itu bertindak demikian kerana manghadapi tekanan hidup.
Timbalan Pengarah Pusat Islam, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Mohd. Nasir Masroom berkata, peranan ujian dalam kehidupan adalah untuk menilai tahap kesabaran, kesyukuran, ketabahan, keyakinan, kepercayaan dan keimanan kita kepada kekuasaan dan kasih sayang Allah SWT.
Dalam hal ini, Allah SWT berfirman: “Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?” (Surah al-Angkabut, 29: 2).
“Dalam ayat di atas, Allah SWT menyatakan bahawa ujian yang diberikan kepada hamba-Nya adalah semata-mata untuk menilai sejauh manakah keyakinan dan keimanan mereka kepada Allah SWT,” katanya kepada Kosmo!.
Mengulas lanjut, Mohd. Nasir berkata, ujian juga diberikan kepada manusia untuk mereka menilai keihklasan mereka dalam beriman kepada Allah SWT dan untuk mereka membuat penilaian kendiri (muhasabah) berkaitan dengan kualiti amal ibadah yang mereka lakukan.
Justeru, dapat dikatakan bahawa ujian adalah tempat kita membuat penilaian dan melihat ruang untuk memperbaiki kualiti diri.
Dari satu sudut, perasaan ingin meragut nyawa sendiri sebenarnya adalah manifestasi daripada rasa penat, lelah, kecewa, marah dan benci dengan kehidupan yang sedang dilalui.
Sementara itu, Pakar Psikologi dan Kaunseling, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr. Fauziah Mohd. Saad berkata, terdapat tiga tahap tekanan dari segi pandangan psikologi dan kaunseling.
“Pertama adalah peringkat normal yang mana orang biasa melakukan saringan atau berjumpa dengan pakar-pakar untuk menilai kesihatan mental mereka.
“Kedua pula adalah neurosis iaitu penyakit mental yang agak ringan yang melibatkan gejala tekanan seperti kemurungan, kebimbangan, tingkah laku obsesif, hipokondria tetapi bukan kehilangan sentuhan yang radikal dengan realiti,” jelasnya.
Tahap ketiga pula adalah psychosis, tahap yang mana penghidap masalah mental berhalusinasi memikirkan diri mereka hilang dengan hubungan realiti kehidupan sebenar sehingga bertindak di luar batas termasuk mencederakan diri sendiri selain membunuh diri.
Ujarnya, peranan ahli keluarga terdekat serta sahabat handai adalah tonik terbaik dalam menyerap tekanan yang dihadapi dengan berkongsi cerita dan masalah yang dihadapi.
Katanya, jika sukar untuk meluahkan perasaan kepada orang sekeliling atau terdekat, mereka boleh menerusi rakan dalam media sosial yang boleh dipercayai.