fbpx

Cucu perempuan Biden berkahwin dalam majlis tertutup di White House

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BIDEN dan isteri, Jill menghadiri majlis perkahwinan Naomi dan suaminya, Peter di White House kelmarin. - AFP

WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden menyambut kehadiran tetamu di White House pada majlis perkahwinan cucu perempuannya yang diadakan secara tertutup tanpa kehadiran petugas akhbar kelmarin.

Naomi Biden, 28, yang be­kerja sebagai seorang peguam di Washington, berkahwin dengan graduan undang-undang berumur 25 tahun, Peter Neal. Majlis perkahwinan mereka berlangsung di Halaman Selatan pada pukul 11 pagi (waktu tempatan) dan disaksikan oleh sekitar 250 tetamu, demikian menurut kenya­taan White House.

Naomi merupakan anak pe­rempuan kepada anak lelaki Biden, Hunter Biden.

“Satu kegembiraan untuk melihat Naomi meningkat usia dewasa, menemui siapa dirinya dan mengatur kehidupan hebat untuk diri sendiri.

“Kami bangga melihat dia memilih Peter sebagai suami dan kami berbangga menyambutnya ke dalam keluarga kami,” kata Wanita Pertama AS, Jill Biden dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, Persatuan Sejarah White House berkata, sebanyak 18 majlis perkahwinan telah diadakan di rumah agam tersebut termasuk majlis anak perempuan Richard Nixon, Tricia dalam tahun 1971 dan majlis kahwin jurugambar rasmi Barack Obama, Pete Souza pada 2013.

Bagaimanapun, ini adalah kali pertama cucu perempuan Pre­siden AS melangsungkan perkahwinan di White House.

Naomi mengumumkan majlis perkahwinan mereka pada September lalu dalam akaun Instagramnya.

Biden sangat rapat de­ngan cucu-cucunya dan mereka memang­gil beliau pops (bapa).

Naomi dinamakan sempena nama anak perempuan sulung Biden yang meninggal dunia ketika masih bayi dalam satu kemalangan pada 1972. Nahas tersebut turut meragut nyawa isteri pertamanya. – AFP 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI