HOBI mengumpulkan barangan edisi terhad khususnya yang bernilai tinggi boleh dianggap suatu budaya di seluruh dunia.
Namun, minat sebegitu tidak mampu dilakukan oleh orang kebanyakan, sebaliknya sangat popular dalam kalangan orang berada. Golongan artis tidak terkecuali sebagai pengamal hobi mahal, khususnya sebagai pengumpul koleksi seni bernilai tinggi.
Penyanyi rap kumpulan Big Bang, T.O.P antara yang cukup terkenal sebagai selebriti yang cintakan karya seni. Dia juga merupakan pengumpul tegar karya pelukis popular.
Menerusi Instagramnya baru-baru ini, penyanyi itu memuat naik sebuah video pendek memaparkan satu daripada koleksi seni yang dibelinya.
Hasil seni lakaran berbentuk kotak segi empat berwarna hitam dan putih yang dikongsikan T.O.P merupakan karya pelukis legenda Amerika Syarikat, Frank Stella. Lukisan itu dikatakan bernilai AS$8.8 juta dolar iaitu hampir RM37 juta.
Namun, nilai tersebut bukanlah sesuatu yang luar biasa bagi penyanyi itu. Selain karya Frank Stella, dia juga memiliki koleksi lukisan lain bernilai jutaan ringgit.
Selepas memuat naik gambar lukisan berkenaan, ada antara netizen meninggalkan komen mengusik, namun berbaur kritikan kepada T.O.P.
“Lebih RM33.1 juta untuk sekeping lukisan segi empat? Saya sangat menghargai seni lukisan tetapi ini tidaklah hebat mana. Awak boleh cetak gambar segi empat daripada internet dan tampal di dinding dengan modal tidak lebih daripada AS$100 dolar,” ujar seorang netizen.