PARIS – Pemain tenis No.2 dunia, Rafael Nadal menyamai rekod 20 gelaran Grand Slam milik Roger Federer selepas menjuarai kejohanan Terbuka Perancis malam kelmarin.
Pada aksi final itu, Nadal membenam cabaran pemain No.1 dunia, Novak Djokovic menerusi kemenangan 6-0, 6-2, 7-5, sekali gus merangkul gelaran Terbuka Perancis ke-13 dalam kariernya.
Meskipun berjaya menyamai rekod Federer, namun pemain Sepanyol itu enggan terlalu memikirkan mengenainya, sebaliknya dia mahu menikmati kejuaraan yang dimenanginya.
“Kisah ‘cinta’ antara saya dengan bandar dan gelanggang ini amat sukar untuk dilupakan sepanjang hidup. Buat masa sekarang, saya tidak mahu terlalu fikirkan rekod 20 Grand Slam.
“Roland Garros sangat bermakna dalam hidup saya. Kemenangan ini adalah salah satu detik paling istimewa dalam karier dan saya mahu nikmatinya,” luah Nadal.
Pemain berusia 34 tahun itu menegaskan, dia sangat gembira dapat beraksi menentang Djokovic memandangkan sudah lama tidak bertemu pemain Serbia berkenaan.
“Saya sangat gembira dan saya anggap satu penghormatan untuk bersama (Djokovic) di atas gelanggang ini. Kami sudah mengharungi banyak aksi sengit sejak dahulu lagi,” katanya. – AGENSI