KUALA LUMPUR- UMNO hari ini mengadakan Mesyuarat Biro Politik UMNO bagi membincangkan hala tuju parti itu susulan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang menyaksikan tiada mana-mana gabungan dapat membentuk kerajaan ketika ini.
Difahamkan, beberapa pemimpin UMNO dilihat telah tiba di perkarangan Menara Datuk Onn bagi menghadiri mesyuarat itu.
Antara pemimpin itu termasuklah Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Turut hadir, Ketua Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Pada masa sama, Mesyuarat MKT UMNO juga dijangka diadakan pada pukul 3 petang nanti seterusnya Mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) pada pukul 8 malam nanti. – KOSMO! ONLINE