PETALING JAYA – Debaran penantian keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sudah berakhir, namun situasi kini masih tergantung apabila tiada mana-mana gabungan parti politik yang mendapat majoriti mudah bagi membentuk kerajaan baharu.
Susulan itu, timbul tanda tanya dalam kalangan orang ramai yang mempersoalkan sama ada esok akan diberikan cuti peristiwa atau tidak.
Tinjauan Kosmo! di media sosial mendapati, kebanyakan orang ramai termasuklah mereka yang masih berada di kampung sedang menanti keputusan itu.
“Masih belum ada kerajaan yang berjaya dibentuk. Cuti Isnin atau tidak, belum ada jawapan. Bersabarlah,” tulis Mawaddah MN di hantaran Facebooknya.
“Isnin cuti atau tidak? Aku masih dekat kampung ini, kalau cuti boleh teruskan bersama emak dan ayah, kalau tidak cuti aku nak kemas dan balik sekarang, tunggu cuti lebih berdebar daripada tunggu kerajaan yang baharu,” ciap Marliana di Twitter.
Dalam pada itu, terdapat juga orang ramai yang terdiri daripada golongan pelajar yang masih menunggu pengumuman berkaitan cuti pada hari Isnin ini.
“Sekarang ini tidak kisah siapa yang ingin mentadbir negara tetapi saya masih tertanya adakah Isnin akan diberikan cuti? Serba salah ingin balik ke asrama dalam keadaan cuti yang masih samar-samar,” ciap Batrisya.
“Hari Isnin cuti atau tidak ini? Budak-budak universiti nak balik asrama hari ini, pening jadinya kalau pergi asrama tapi masih kosong,” ciap Aliff.
Setakat ini, masih belum terdapat pengumuman rasmi yang mengisyhtiharkan bahawa cuti akan diberikan pada hari Isnin ini. – KOSMO! ONLINE