KANGAR – Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO perlu membuat keputusan berhubung kedudukan Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi susulan kekalahan teruk Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, keputusan supaya Ahmad Zahid meletakkan jawatan secara terhormat perlu dibuat.
“Dulu masa 2018 bila Datuk Seri Najib (Tun Razak) kalah, dia (Ahmad Zahid) sendiri minta supaya Najib undur diri dan Najib undur diri.
“Jadi kali ini, saya minta MKT buat keputusan untuk Zahid undur diri. Namun dia (Ahmad Zahid) masih Ahli Parlimen dan teruslah menyokong parti,” katanya pada sidang akhbar Perikatan Nasional (PN) di Kompleks Pas Perlis di sini awal pagi ini.
Katanya, Ahmad Zahid perlu memberi peluang kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk menerajui UMNO.
“Saya bukan nak mengata lebih-lebih kepada Zahid, cuma minta kalau boleh beri peluang kepada Ismail Sabri untuk memangku dan mengepalai UMNO bagi mendapatkan hasil perbincangan lebih baik.
“Wadah perjuangan UMNO untuk orang Melayu sama dengan PN. Yang lain-lain itu, tunggulah. Kita nak berkawan balik (dengan BN), kalau tidak kita susah nak tubuh kerajaan,” jelasnya.
Kata beliau, UMNO di bawah kepimpinan Ismail Sabri dilihat akan membawa kepada hasil perbincangan yang lebih baik antara PN, BN dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).- KOSMO! ONLINE