GEORGE TOWN – Mayat seorang pemuda yang dipercayai bertindak terjun dari Jambatan Pulau Pinang Khamis lalu ditemui terapung berhampiran sangkar ikan di Pulau Aman di sini pagi semalam.
Mangsa berusia 22 tahun yang berasal dari Pendang, Kedah itu ditemui kumpulan nelayan kira-kira pukul 9 pagi lalu lalu menghubungi pasukan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang untuk tindakan lanjut.
Pengarah Maritim Malaysia Negeri, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, sebaik menerima laporan tersebut, bot ronda KILAT 26 telah diatur gerak ke lokasi bersama beberapa aset dari agensi sahabat.
“Hasil pemeriksaan awal yang dilakukan ke atas mayat mendapati mangsa adalah seorang lelaki tempatan berusia 22 tahun dari Pendang, Kedah.
“Mangsa disyaki terjun laut dari jambatan pertama Pulau Pinang pada 17 November lebih kurang pukul 5 petang lalu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau memberitahu, mayat mangsa dibawa ke jeti Polis Marin Batu Uban dan telah disanitasi oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum diserahkan kepada pihak Polis Perai.
Dalam kejadian pada Khamis lalu, seorang pemuda tempatan dikhuatiri lemas selepas dipercayai bertindak terjun di Kilometer 2.2 Jambatan Pulau Pinang dari arah Perai menghala ke bahagian Pulau.
Mangsa dikatakan telah meninggalkan sebuah motosikal jenis Yamaha 125Z di tepi tembok jambatan sebelum bertindak terjun. – KOSMO! ONLINE