fbpx

PRU15: Saya ingin berehat dulu- KJ

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Khairy Jamaluddin

PETALING JAYA – Calon Barisan Nasional (BN), Khairy Jamaluddin Abu Bakar ingin berehat dahulu, setelah penat menggalas tanggungjawab sebagai Menteri Kesihatan dalam Kabinet yang lepas.

Beliau berkata dalam satu hantaran di Instagramnya, perjuangan tetap akan diteruskan walaupun telah tewas kepada calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Ramanan Ramakrishnan bagi kerusi Parlimen Sungai Buloh.

“Adakah ini penghujung jalan? Saya agak pasti ia tidak, tetapi saya ingin merenung perkara ini sebelum saya memikirkan apa yang saya patut lakukan seterusnya.

“Sebenarnya, saya letih, saya tidak mempunyai masa untuk berehat sejak saya diminta menguruskan wabak Covid-19. Dua tahun yang sukar untuk saya mengemudi negara keluar daripada penyakit itu,” tulisnya.

Namun jelasnya, ia adalah satu keistimewaan untuk berkhidmat kepada negara pada masa yang kritikal dan beliau gembira Malaysia telah pulih lebih baik daripada banyak negara lain.

Dalam pada itu, beliau meluahkan kekesalan kerana dirinya telah mencuba sehabis baik, namun tidak cukup buat rakyat susulan kekalahannya dalam merebut kerusi Parlimen Sungai Buloh.

Tangkap layar hantaran Khairy Jamaludin di akaun Instagramnya.

“Salah satu perkara yang paling menyedihkan tentang menjadi ahli politik ialah ‘disahkan’ secara terbuka setiap lima tahun. Walaupun pilihan raya adalah asas kepada mana-mana demokrasi yang berfungsi, tetapi ia juga memberitahu ahli politik tersebut sama ada mereka cukup baik atau sebaliknya.

“Itu adalah hakikat yang anda perlu terima apabila rakyat menganggap anda tidak cukup bagus untuk mewakili mereka. Kekalahan adalah satu kerugian, tidak kira berapa ramai datang pada saya untuk menyatakan kekecewaan mereka,” tulisnya kecewa.

Tambah Khairy lagi, beliau turut berharap calon yang telah dipilih bertindak dengan penuh hikmah dan belas kasihan kerana negara memerlukan kestabilan dan kepimpinan lebih daripada sebelumnya.

“Saya menantikan Piala Dunia di televisyen,” selorohnya mengakhiri luahan itu.

Terdahulu, Parlimen Sungai Buloh menyaksikan pertembungan tujuh penjuru antara PH, BN, Perikatan Nasional, Pejuang, Parti Rakyat Malaysia dan dua calon Bebas.

Ramanan berjaya memenangi kerusi tersebut dengan majoriti 2,693 undi berbanding Khairy Jamaluddin.

Sebelum ini penyandang kerusi Parlimen itu adalah R. Sivarasa mewakili PH pada PRU14. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI