REMBAU – Kejadian tanah runtuh dan tiang elektrik tumbang di Jalan Durian Daun-Pilin, di sini mengakibatkan laluan berkenaan bagi kedua-dua arah terpaksa ditutup sementara.
Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Hazri Mohamad berkata, pihak berkenaan iaitu Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) telah berada di lokasi kejadian bagi kerja-kerja pemantauan serta selanjutnya.
“Oleh itu, jalan ini ditutup buat sementara waktu buat semua jenis kenderaan bagi keselamatan pengguna jalan raya,” katanya hari ini.
Sementara itu, seorang penduduk, Muhammad Zaid Faisal Mohammad Yussof, 29, berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 4 petang dan bertambah buruk pada waktu lewat petang apabila bahagian tebing tanah yang runtuh semakin melebar.
Menurutnya, lebih tiga batang tiang elektrik turut tumbang dalam kejadian tersebut.
“Laluan ini merupakan laluan dalam yang sering digunakan untuk ke Lubuk China, Melaka. Oleh itu, pengguna jalan raya dinasihatkan mengikut laluan lain di sebelah Kota dan Pedas,”ujarnya.-KOSMO! ONLINE