SEBERANG PERAI – Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow menyifatkan Pakatan Harapan (PH) kehilangan pemimpin masa depan selepas Nurul Izzah Anwar tewas di kerusi Parlimen Permatang Pauh.
Kon Yeow berkata, walaupun beliau memperoleh kemenangan besar di kerusi Parlimen Batu Kawan, namun PH tidak dapat mencapai sasaran kemenangan di Pulau Pinang.
”PH tidak dapat mencapai sasaran kali ini, seorang pemimpin kanan PH dan PKR kecundang di Permatang Pauh, ia adalah kerusi lama yang dimenangi oleh PKR dan PH, kita kecewa dari segi ini.
”Kita hilang satu kerusi dan hilang tokoh masa depan apabila kerusi Permatang Pauh tidak dapat dipertahankan,” katanya di pusat pemantauan keputusan PRU15 di sini hari ini.
Kon Yeow yang menang di Parlimen Batu Kawan memperoleh sebanyak 50,744 undi jauh mengatasi empat lawannya, Tan Lee Huat (BN) yang memperoleh 7,145 undi, Wong Chia Zhen (PN) mendapat 10,344 undi, Ong Chin Wen (Warisan) memperoleh 450 undi manakala Lee Ah Leong (PRM) pula memperoleh 148 undi.- KOSMO! ONLINE