PETALING JAYA – Pengerusi Pejuang yang juga bekas Perdana Menteri dua kali, Tun Dr. Mahathir Mohamad bukan sahaja tewas di Parlimen Langkawi, malah turut kehilangan wang deposit pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Berdasarkan keputusan rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya, penyandang kerusi Langkawi itu sekadar meraih sebanyak 4,566 undi.
Kerusi tersebut telah dimenangi oleh calon Perikatan Nasional, Mohd. Suhaimi Abdullah dengan 25,463 undi.
Terdahulu, pada PRU14 lalu, Mahathir yang bertanding atas tiket Parti Keadilan Rakyat menang di Parlimen tersebut dengan majoriti sebanyak 8,896 undi. – KOSMO! ONLINE