KUALA LUMPUR – Suasana di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) digambar seakan-akan suram malam ini selepas tiada sebarang ‘gelombang biru’ dilihat di sini seperti kebiasaan Pilihan Raya Umum (PRU) sebelum ini.
Berdasarkan tinjauan Kosmo!, hanya segelintir penyokong berada WTCKL bagi menantikan pengumuman Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang dijangka diadakan malam ini selepas pengiraan undi selesai.
Suasana sama turut dirasai di Menara Datuk Onn di mana hanya petugas media dan beberapa penyokong BN dilihat berada di sini.
Difahamkan, Ahmad Zahid telah memanggil pemimpin-pemimpin UMNO serta parti komponen lain untuk berada di WTCKL sebelum pengumuman dibuat.
Setakat ini, beberapa pemimpin dilaporkan tiba di WTCKL antaranya Pengarah Komunikasi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaleed Nordin dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek. – KOSMO! ONLINE