PETALING JAYA – Bekas Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa meluahkan rasa dukacita dengan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) malam ini.
Biarpun keputusan rasmi bagi keseluruhan Parlimen belum diumumkan beliau menggambarkan bahawa Barisan Nasional (BN) sudah tewas pada PRU kali ini.
“Akhirnya igauan buruk yang saya gambarkan selama ini dan minta dielakkan benar-benar terjadi. Dukacita teramat sangat.
“Perpecahan menjadikan kamu lemah dan hilang kekuatan. Kami anjurkan muafakat, kami dilabel tidak setia.
“Kami minta jangan berpecah, kami yang menerima padah,” katanya dalam satu hantaran di Facebook beliau tadi.
Susulan itu, Annuar meminta pucuk pimpinan parti menjelaskan ke mana hala tuju selepas PRU15 ini.
“Kini, ke mana kita nak dibawa? Mahu menjalin jajaran yang kita tolak? Mahu melanggar keputusan Perhimpunan Agung UMNO dan parti sekali lagi?
“Undurlah, cukuplah kebinasaan ini dan dengar suara rakyat serta fahami kehendak rakyat. Jangan sombong,” katanya. – KOSMO! ONLINE