MEXICO CITY – Bekas pemain tengah Sepanyol, Andres Iniesta meletakkan kepercayaan tinggi kepada skuad kendalian, Luis Enrique yang membawa pemain muda pada saingan Piala Dunia 2022 di Qatar.
Juara 2010 itu telah memilih generasi baharu ke saingan kali ini selepas membuat keputusan mengejut mengetepikan pemain tengah Liverpool, Thiago Alcantara dan penjaga gol Manchester United, David De Gea.
Iniesta yakin dengan pengalaman luas Enrique di pentas antarabangsa mampu membantu Sepanyol meraih keputusan terbaik.
“Sudah pasti pemain yang terpilih itu mempunyai banyak tanggungjawab untuk dipikul.
“Saya yakin mereka mempunyai peluang untuk memberikan yang terbaik. Ini adalah satu cabaran dan mereka sedar boleh melakukannya dengan baik.
“Secara peribadi, saya suka pasukan ini dan saya suka perancangan pasukan yang dirangka oleh jurulatih,” kata Iniesta.
Sepanyol akan berdepan Costa Rica pada aksi pembukaan pada hari Khamis. – AGENSI